Aku, Buku & Kota Kaherah oleh Shahriman Jamalullayl

Bagi rakyat Malaysia, berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar di Mesir merupakan salah satu keistimewaan yang menjadikan seseorang itu lebih istimewa. Sebagai sebuah universiti tertua di dunia dan terkenal dengan kehebatannya melahirkan generasi demi generasi ilmuan Islam, anak-anak tempatan yang berjaya menjejakkan kaki ke Al Azhar pastinya membawa pulang seribu satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

            Penulis karya ini, Shahriman Jamalullayl adalah salah seorang anak Malaysia yang akhirnya berjaya menjejak kaki ke bumi Mesir untuk menuntut ilmu. Di dalam karya beliau ini, beliau merakamkan perjalanan hidup beliau merantau ke bumi anbiya’ demi menuntut ilmu. Selain daripada berkongsi tentang jerih-payah hidup sebagai musafir ilmu di tempat orang, ragam dan perangai penduduk tempatan, beliau memberi fokus penting kepada perkongsian  pengalaman hidup beliau dengan dunia perbukuan di kota Kaherah.

            Penulis membawa pembaca untuk menelusuri satu sisi kota Kaherah yang mungkin ramai tidak tahu – kota di mana wujudnya banyak kedai-kedai yang menjual buku di lorong-lorong kota dan di kaki-kaki lima. Pengunjung yang memang disemai dengan budaya membaca dan kecintaan kepada buku sudah tentunya melihat ‘syurga’ ini. Penulis  istiqamah dalam menelusuri lorong-lorong di kota tersebut dalam mencari buku-buku baharu, terpakai, nadir dan pelbagai lagi kitab-kitab yang dijual oleh penjual buku. Selain daripada buku-buku yang mudah didapati, beliau turut merakamkan pengalaman menjejak buku-buku yang telah diharamkan oleh pemerintah Mesir. Walaupun berisiko, namun disebabkan wujudnya permintaan, ada sahaja  penjual buku yang berani mengambil risiko untuk menjual buku-buku tersebut! Hanya kaki buku dan pencinta buku sahaja yang dapat menghargai kewujudan senario yang wujud di kota Kaherah ini.   

            Kecintaan dan ketekunan penulis untuk memburu buku dan kitab di kota Kaherah diperkuat dengan perkenalan beliau dengan Abdul Rahman, seorang rakan penuntut yang juga memiliki minat yang sama. Mereka sentiasa berbicara, berbincang dan memburu buku dan kitab yang perlu direbut segera sebelum jatuh ke tangan orang lain.

Selain daripada kedai-kedai buku di kaki lima dan lorong-lorong kota, penulis juga menceritakan pengalaman beliau mengunjungi ma’rad kitab atau pesta buku antarabangsa yang dianjurkan di kota ini untuk memburu buku-buku baharu, terpakai dan nadir yang ditawarkan. Walaupun dengan kekangan wang untuk menampung kehidupan, beliau  menguatkan hati untuk menggunakan sebahagian besar daripada sumber kewangan yang ada untuk mendapatkan buku dan kitab yang ada di sana.

            Pengalaman beliau bersahabat dengan penjual-penjual buku dengan pelbagai watak dan ragam, pengalaman berurusan dengan  individu-individu yang mengambil kesempatan dan memanipulasikan harga buku merupakan satu perkongsian pengalaman yang menarik. Keadaan tersebut menunjukkan budaya membaca dan mencintai buku yang unik terdapat di kota ini!

            Kemuncak kepada keterikatan penulis kepada sikap cintakan buku ini adalah apabila beliau berhadapan dengan dugaan lain yang menjelma – bagaimana hendak menghantar 20 buah kotak buku-buku dan kitab-kitab yang telah dibeli pulang ke Malaysia pada ketika beliau hampir keputusan wang di kota tersebut? Beliau sanggup tersangkut di Mesir, asal khazanah buku dan kitab yang dikumpul sekian lama dapat dikirim pulang ke Malaysia!

            Selain daripada membawa fikiran pembaca merentas sempadan dan benua ke denyut kehidupan di kota Kaherah, penulis telah mempersembahkan satu perkongsian pengalaman yang sangat bermakna tentang bagaimana kota ini menampung kegilaan dan keghairahan penduduknya terhadap buku. Catatan ini adalah suatu renungan yang penting untuk memahami elemen sosio-budaya dan sosio-ekonomi  masyarakat di kota Kaherah di samping sewajarnya menjadi inspirasi kepada rakyat di negara ini tentang kepentingan mencintai buku. [ Beli buku di sini. ]