
Suhail berjaya merakamkan banyak pengalaman beliau dengan merasa sendiri budaya kehidupan masyarakat setempat dan denyut nadi kehidupan rakyat Somaliland.
Antara fakta menarik yang dikongsi beliau menerusi karya ini:
i. Masyarakat Somaliland berurusniaga menggunakan kaedah Zaad (cashless transaction)
ii. Budaya majlis Shallad atau qasidah selepas waktu solat Zohor
iii. Ketagihan mengunyah daun Qat
iv. Penduduk Somaliland sebagai masyarakat paling gembira di dunia;
v. Diaspora masyarakat Somaliland di serata pelusuk dunia menyumbang wang ke keluarga masing-masing sehingg sukar menemui keluarga yang miskin di sana
vi. Di Somaliland, sama ada di gurun atau bandar, terdapat liputan 4G tanpa gagal!
Pada hemat saya, Suhail dan Akhmal telah membuat sumbangan besar kepada umat dengan menjadi perintis dan seterusnya membina jambatan budaya antara masyarakat di Malaysia dengan penduduk Somaliland. Menerusi travelog ini, kita didedah dan diperkenalkan kepada budaya kehidupan Somaliland menerusi aneka makanannya, ragam penduduknya, kelainannya, budaya setempat, kegiatan ekonomi dan banyak lain yang menjadikan Somaliland unik.
Menelusuri catatan beliau, Suhail menceritakan pengalaman kembara beliau yang dipenuhi keterujaan, kegusaran dan ketidaktentuan dengan gaya bahasa yang mudah sambil mengadunkannya dengan lintasan fikiran yang bersifat spontan dan juga pemerhatian beliau terhadap apa yang berlaku. Ini membuatkan pembaca seperti berada di samping Suhail ketika perkara-perkara yang diceritakan berlaku.
Daripada segi persembahan yang dibuat di dalam karya ini, Suhail berjaya membuat catatan yang baik dan memperkuatkan penerangan dan cerita yang disampaikan dengan gambar-gambar bersifat story telling. Ini membuatkan minda pembaca dibawa terbang terus ke Somaliland dan dapat merasa sendiri apa yang diceritakan.
Saya percaya travelog ini akan menjadi satu catatan penting dan monumental dalam mencatatkan hubungan masyarakat Malaysia dengan penduduk Somaliland pada suatu masa nanti. Sekaligus, travelog ini adalah satu sumbangan besar kepada khazanah ilmu karya berbahasa Melayu.